Monday, May 21, 2012

Taubat

Sept 2010: Taubat PDF Cetak E-mail Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Thursday, 16 September 2010

Saya yakin kebanyakan media cetak edisi Ogos dan September 2010 memberi fokus kepada subjek agama, khususnya berkenaan berpuasa di bulan Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidil Fitri. Bagi mempelbagaikan subjek bacaan juga bagi mengelakkan perbincangan yang bersifat mono, saya ingin menghidangkan kepada para pembaca yang budiman sekalian suatu variasi yang lain.

Sedang saya terfikir-fikirkan topik yang sesuai, saya mendapat soalan daripada Roslina yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Beliau bertanya tentang taubat nasuha dan langkah-langkahnya. Ini soalan yang bagus dan tentu saja memerlukan penjelasan yang agak panjang. Maka saya memanfaatkan ruangan Cahaya Rohani bulan ini untuk topik Taubat Nasuha.

Taubat Nasuha.

Berkenaan Taubat Nasuha, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” [Surah al-Tahrim, ayat 8]

Perkataan “Nasuha” berasal dari kata akar yang sama dengan “nasihat”. Justeru Taubat Nasuha ialah orang yang berhenti melakukan kesalahan dan sentiasa menasihati dirinya agar tidak mengulangi kesalahan tersebut mahupun mendekatinya. Ini tentu lebih utama dari sekadar bertaubat kerana orang yang bertaubat adakalanya lalai sehingga kembali mengulangi kesalahannya yang awal pada masa kemudian. Taubat Nasuha memiliki beberapa langkah, iaitu:

Pertama: Menyesali Perbuatan Salah.

Langkah pertama untuk bertaubat Nasuha ialah mengakui bahawa dia telah melanggar perintah larangan Allah. Dengan pengakuan ini dia merasa bersalah dan menyesali pelanggarannya itu. Dalam al-Qur’an Allah menerangkan bagaimana perasaan tiga orang yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka sehinggalah mereka merasa bersalah dan menyesali kesalahan mereka. Firman Allah:

“Dan tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” [Surah al-Taubah, ayat 118]

Kedua: Memohon Keampunan Kepada Allah.
Taubat Nasuha bukan sekadar merasa bersalah dan menyesal tetapi segera ingat kepada Allah dan memohon keampunan-Nya. Firman Allah: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” [Surah Ali Imran, ayat 135] Cara terbaik ialah dengan solat sunat Taubat. Solat ini terdiri dari dua rakaat sepertimana solat-solat sunat yang lain. Di akhir solat seseorang itu berdoa kepada Allah agar mengampunkan dosa kesalahannya. Tidak ada bacaan niat, bacaan surah atau bacaan doa yang khusus untuk solat sunat Taubat.

Ketiga: Berhenti Melakukan Kesalahan.

Orang yang bertaubat juga perlu berhenti daripada melakukan kesalahannya. Perhatikan semula firman Allah dalam ayat 135 surah Ali Imran: "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu......" Seperkara lain yang penting dari langkah pertama, kedua dan ketiga di atas, seseorang yang ingin bertaubat Nasuha hendaklah mengetahui apa kesalahannya secara khusus seperti minum arak, tidak menutup aurat, derhaka kepada ibubapa, mengaibkan orang lain, mempercayai ramalan bintang tarikh lahir dan lain-lain. Taubat Nasuha tidak efektif kepada diri sendiri jika seseorang itu tidak tahu apa kesalahannya kepada Allah dan agama, lalu semata-mata ingin bertaubat sahaja.

Keempat: Beriman dan Beramal Salih.
Seterusnya orang yang bertaubat Nasuha hendaklah mengukuhkan semula imannya dengan menuntut ilmu agama yang sahih dan melazimkan dirinya dengan amal-amal kebajikan, yakni amal shalih. Firman Allah: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal shalih, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” [Ta-Ha 20:82] Iman yang kukuh dan amal salih yang kerap menjadi umpama penasihat yang menhaga pentaubat daripada mengulangi kesalahannya yang awal. Tidak diragukan lagi bahawa antara punca seseorang itu cenderung kepada melakukan kesalahan adalah keimanan yang rendah dan lazim melakukan perkara yang sia-sia. Semua ini, secara bertahap-tahap akan menarik seseorang itu kepada melanggar perintah Allah.

Nilai Diri Sendiri

Maka Nabi s.a.w mengingatkan kita tentang hakikat ini. Kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a: “Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari). Ya, inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) “dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)”. (al-‘Ankabut: 64). Apa yang penting, dalam kehidupan seorang insan itu, dia sentiasa peka dengan hakikat dirinya dengan tuhannya. Hanya Allah dan diri kita sahaja yang tahu bagaimana hubungan diri kita ini dari segi kerohaniannya. Segala amalan yang zahir ditentukan oleh kadar kehalusan nurani rohani insani yang ada dalam naluri seorang hamba Allah. Manusia boleh menilai, tetapi akhirnya kedudukan nilai spiritual seseorang insan jua yang dihitung di sisi Tuhan. Pakaian kebesaran, pangkat ketinggian, kuasa dan kedudukan adalah ciptaan mimpi insan dalam kehidupan di maya pada ini. Ia akan berakhir sepantasnya dengan satu sentapan maut. Hijab antara kenikmatan hidup di dunia dengan kematian yang membawa kepada kehidupan hakiki itu bagaikan sehelai kulit bawang yang nipis. Apabila ia ditembusi, kita pun boleh berkata: “Aku rupanya bermimpi”. DR MAZA

Sunday, December 11, 2011

Buat duit dgn Churpchurp

http://www.churpchurp.com/anuarXjawi/share/peroduatweckbot

Tuesday, November 29, 2011

Thursday, November 24, 2011

Wednesday, November 23, 2011

Tuesday, November 15, 2011

Cerita sedih & Pengajaran

Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.

Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak."

Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya."

Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."

Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.

Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi, "Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?"

Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."

Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.

Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.

Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.

Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.

Lama-kelamaan gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti.

Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.

Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.

Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya : "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"

Gadis itu menjawab : "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal."

Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"

Gadis itu menjawab : "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."


Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."

Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat.

Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.

Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.

- Artikel iluvislam.com